loader

Gunung Pueh Forest Reserve Heart Of Borneo (HoB) Scientific Expedition : Kajian Sosio-Ekonomi Komuniti Di Sekitar Hutan Simpan Pueh, Sematan, Lundu

Kajian Sosio-ekonomi komuniti di sekitar Hutan Simpan Pueh, Sematan, Lundu diadakan pada 5 – 13 Oktober 2020 oleh pihak SFD dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (RDID) sempena dengan Gunung Pueh Forest Reserve Heart Of Borneo (HoB) Scientific Expedition. Kawasan kaijian ini meliputi TIGA (3) buah kampung iaitu Kampung Sebako I dan II, Kampung Judin serta Kampung Semapu. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti i) Sumber utama pendapatan komuniti; ii) Kebergantungan komuniti terhadap sumber hutan bukan kayu (NTFP) – tanaman/sungai; iii) Keperluan komuniti untuk program pembangunan modal insan – latihan/kursus dan; iv) Penerimaan orang kampung dalam membangunkan Pueh sebagai kawasan pelancongan.

Jumlah keseluruhan responden yang telah ditemubual di setiap kampung adalah sebanyak 140 responden (Kg. Sebako I dan II – 79; (Kg. Judin – 36; dan Kg. Semapu – 25 responden). Hasil daripada kajian mendapati majoriti responden bekerja sendiri dan sumber pendapatan lebih kepada bidang pertanian (lada, sawit, dan getah). Sebahagian responden didapati mengutip hasil hutan bukan kayu (NTFP) untuk membuat tikar, bakul, dan bubu tetapi hanya untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk dijual.

Di samping itu, kajian ini dijalankan bagi mengetahui pemahaman responden mengenai Program Pembangunan Komuniti seperti sistem tagang dan keperluan latihan atau kursus yang memberi kebaikan kepada penduduk kampung khususnya dalam meningkatkan taraf hidup. Kajian ini mendapati bahawa majoriti responden tidak mengetahui mengenai sistem tagang akan tetapi responden menyokong dalam bantuan latihan atau kursus yang dicadangkan. Namun begitu, kajian ini juga mendapati bahawa majoriti penduduk kampung menjalankan aktiviti pertanian dan mendapat bantuan dari agensi- agensi lain seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang memberi bantuan dalam bentuk bekalan anak benih, baja, dan racun.

Berdasarkan kajian ini juga mendapati majoriti responden bersetuju untuk menjadikan kawasan kampung sebagai kawasan eko-pelancongan memandangkan kawasan hutan berdekatan mempunyai air terjun yang menjadi tarikan utama pengunjung tempatan mahupun pelancong dari luar khususnya yang meminati aktiviti mengembara di kawasan bergunung.

Kajian Sosio-ekonomi komuniti di Kpg. Sebako (I dan II)

Tanaman lada hitam oleh komuniti Kpg. Sebako

Sebahagian NTFP yang dihasilkan oleh komuniti Kpg. Sebako untuk kegunaan sendiri

Kajian Sosio-ekonomi komuniti di Kpg. Judin

Kajian Sosio-ekonomi komuniti di Kpg. Semapu